Dewan Waghih Siswa (DWS) 2023

Seremban, 2 Mac 2023 – Dewan Waghih Siswa (DWS) telah bersidang buat kali pertama melibatkan 36 Ahli Dewan Waghih Siswa (ADWS) yang membahaskan empat usul di Dewan Persidangan Khas bertempat di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan.
Persidangan yang bermula pada 9.30 pagi itu dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan YB Dato' Haji Zulkefly Mohamad Bin Omar dan disusuli dengan bacaan doa. Majlis Persidangan turut dihadiri oleh YB Dato' Haji Mohamad Taufek Bin Abd. Ghani, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan untuk sesi penggulungan Dewan Waghih Siswa.
Kesemua usul yang dibahas dan resolusi dalam persidangan ini akan diserahkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya.
Dewan Waghih Siswa merupakan inisiatif Sekretariat Mahasiswa Anak Negeri Sembilan anjuran bersama REFORM Malaysia untuk mewujudkan platform kepada anak muda dan mahasiswa bagi membincang dan menyampaikan maklum balas terhadap dasar Kerajaan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan ia antara lain bertujuan melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda berkaliber dan berwibawa sejajar keperluan negara masa kini dan akan datang.